Betul ke pemikiran seperti ini?
Mengikut hemah saya: Ada betul dan ada kurang tepatnya. Akan kita bincangkan.
Ungkapan seperti ini kerap kali saya dengar, bukan seorang dua yang berfikiran seperti ini tetapi ramai tak terbilang.
Pertama sekali saya katakan ada betulnya kenyataan di atas kerana Umrah atau Haji adalah satu ibadah yang besar di sisi Allah. Ramai ulama yang menggalakkan Taubat sebelum kita melaksanakan sesuatu Ibadah. Nabi kita sallAllahu ‘alaihi wasallam beristighfar dan bertaubat setiap hari lebih dari 70 kali. Ada riwayat menyatakan 100 kali.
وَاللَّهِ إِنِّى لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِى الْيَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً
“Demi Allah. Sungguh aku selalu beristighfar dan bertaubat kepada Allah dalam sehari lebih dari 70 kali.” (HR. Bukhari)
Namun di sini saya ajukan kembali satu soalan untuk kita fikirkan, “Kalau semua yang pegi umrah mesti ‘cukup baik’, jadinya siapa yang betul-betul layak untuk pergi Umrah atau Haji?”
Bahkan Allah menjanjikan melalui lisan Rasul bahwasanya Umrah itu adalah penghapus bagi dosa. Bukan untuk orang yang sudah bersih dosanya.
Sesungguhnya Rasûlullâh shallallahu’alaihiwasallam bersabda:
العُمْرَةُ إِلَى العُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا
“Umrah ke satu Umrah lainnya adalah penebus dosa antara keduanya” [Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]
Jadi contohnya kalau seorang hamba pergi umrah pada 2009 kemudian dia direzekikan Allah untuk pergi lagi pada tahun 2019, bererti dosa-dosanya diantara 2009 dan 2019 (lebih kurang 10 tahun) diampunkan Allah s.w.t
Seterusnya saya rasakan pemahaman “mesti baik dulu sebelum pergi umrah” boleh timbul bila kita terlalu fikirkan apa yang orang lihat & apa yang orang kata.
Kita takut nanti bila balik umrah orang akan melihat perbuatan dan percakapan kita dan bandingkan dengan ibadah umrah yang kita lakukan.
“Dia tu dah pergi umrah tapi perangai buruk lama masih buat lagi..”
Saya nasihatkan, kita tumpukan hubungan dengan Allah dahulu sebelum kita lihat apa yang orang akan berpandangan pada kita. Bila kita jaga hubungan baik dengan Allah, Allah akan perbaikkan hubungan kita dengan orang lain dan hubungan orang lain dengan kita. Tujuan utama kita nak ‘happy’kan Allah dahulu, bukan orang lain. Dari sudut Ibadah Umrah, Allah menyuruh kita laksanakan Untuk Dia, dan semata-mata untuk dia bukan kerana orang cakap atau orang lihat.
Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud:
“Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah”.
Saya rasa cukup setakat ini saya utarakan 2 point utama dari saya menjawab kenyataan “Saya belum cukup baik untuk pergi umrah”:
- Umrah itu adalah Ibadah penghapus dosa, bukan Ibadah bagi orang yang sudah suci dari dosa.
- Tunaikan Umrah kerana Allah semata-mata (Ikhlas), jangan tumpukan pada pandangan & perbualan orang kerana ia boleh membantutkan usaha kita untuk melakukan Ibadah. Bukan hanya Ibadah Umrah tetapi banyak lagi Ibadah lain. Dan ini mungkin termasuk salah satu dari tipu daya dan bisikan syaithan.
wAllahu a’lam
Artikel ini ditulis oleh Ustaz Mahfuz Al-Hafiz, pengasas Travelustaz.com. Sila dapatkan keizinan untuk muat naik semula.